Thursday, October 14, 2010

Ulasan Filem - Zoo.


Zoo merupakan sebuah filem yang diarahkan oleh Azhari Mohd Zain dan David Teo sebagai penyuntingnya. Antara pelakon-pelakon yang membarisi filem ini termasuklah Mazlan Pet Pet, Lisa Surihani, Bob Lokman dan Azlee Senario. Filem ini telah ditayangkan di pawagam pada awal Julai tahun ini.

Filem yang bergenre komedi fantasi ini mengisahkan seorang jejaka,Ad yang sangat meminati dan menyayangi haiwan telah mendapat pekerjaan sebagai seorang pengawal keselamatan di Zoo Negara. Beliau berasa lucu, apatah lagi ingin mempercayainya apabila diberitahu pengawal-pengawal keselamatan sebelum beliau telah berhenti bekerja kerana mendakwa haiwan-haiwan di zoo itu boleh bercakap. Namun pada hari pertama beliau bekerja di situ, beliau amat terkejut apabila mendapati haiwan-haiwan tersebut benar-benar boleh bercakap. Terdapat banyak insiden lucu yang berlaku seperti gajah, zirafah, singa dan monyet bercakap dan menegur beliau. Haiwan-haiwan tersebut juga seperti mahu bergurau dengan beliau.

Keesokan harinya, beliau menceritakan kepada bos dan pekerja-pekerja yang lain mengenai insiden haiwan-haiwan di zoo itu bercakap. Namun, kata-kata beliau tidak dipercayai oleh mereka.

Pada suatu hari, mereka telah digemparkan dengan berita kehilangan haiwan-haiwan eksotik di zoo tersebut. Ad, sebagai pengawal keselamatan di situ telah dituduh bersubahat dalam kes kehilangan haiwan-haiwan tersebut. Beliau berasa sedih dan terkilan apabila bosnya mempercayai tuduhan tersebut dan telah memberikan beliau surat amaran. Dalam masa yang sama juga, dua haiwan kesayangan beliau telah dicuri oleh penjenayah yang sama.

Demi mendapatkan kembali haiwan-haiwan kesayangan beliau itu serta memebersihkan nama baik beliau, beliau telah meminta pertolongan dari haiwan-haiwan di zoo itu untuk menyiasat siapakah penjenayah yang terlibat dalam kes kehilangan haiwan-haiwan eksotik ini. Beliau juga percaya bahawa terdapat dalang dalam kes ini.

Keadaan menjadi semakin parah apabila kehilangan haiwan-haiwan eksotik itu semakin menjadi-jadi. Persoalannya, siapakah dalang yang melakukan jenayah ini dan siapakah pula penjenayahnya. Dapatkah Ad mendapatkan kembali haiwan-haiwan kesayangan beliau dan membersihkan nama baiknya yang telah tercemar itu?.

Filem ini sesuai ditonton oleh semua lapisan masyarakat. Nilai-nilai baik diterapkan dalam filem ini yang wajar dicontohi dan diteladani oleh kita semua. Antara pengajaran yang dapat kita ambil dari filem ini ialah kita harus kental dan gigih menyelesaikan masalah walaupun telah jatuh berkali-kali. Selain itu, kita juga harus beringat bahawa setiap perbuatan buruk pasti ada balasannya walaupun mempunyai niat baik. Setiap tindakan yang kita ambil haruslah dilaksanakan dengan cara yang betul.

No comments:

Post a Comment